Mengenali Diri

Mengenal Diri

Mengenal diri merupakan satu subjek yang amat penting sekali dalam menentukan arah tuju manusia itu sendiri dan memahami dengan lebih jelas siapakah manusia itu. Oleh itu, manusia mestilah dikaji sebagai objek yang menyeluruh dan mendalam, iaitu dengan memahami gerak kerja yang mempengaruhi hidupnya. Adalah amat significant sekali melihat manusia dari pandangan yang benar supaya tidak ada lagi kesalahan dalam membuat keputusan berkenaan dengan penyelesaian masalahnya, pemahanman tentang potensi tentang potensi kehidupan inilah yang akan menentukan pemahaman berikutnya, tentang apa dan bagaimana manusia mesti bertingkah-laku. Disamping itu, pemahaman tentang masalah ini akan sangat mempengaruhi pandangan setiap Muslim khasnya pengembang dakwah dalam menyelesaikan masalah peribadi yang dihadapinya. Pemerhatian yang teliti dengan pemikiran yang jernih ke atas insan akan menghasilkan satu kesimpulan yang tepat berkenaan diri manusia, iaitu manusia terdiri dari:

 Potensi kehidupan yang tercermin dari perbuatan manusia
 Potensi akal yang akan mencerminkan sikap manusia

Potensi Kehidupan Manusia

Pada diri manusia terdapat khasiat yang sama dengan makhluk hidup yang lain. Dimana khasiat yang dimaksudkan disini adalah keistimewaan yang berupa potensi khas yang diberikan oleh Allah SWT kepada benda, sehingga benda tersebut dapat memberikan sesuatu atau dapat dipergunakan untuk menghasilkan sesuatu seperti kemampuan berfikir, pertumbuhan dan perkembangan menjadi besar, keletihan dan mengantuk yang merupakan kesan daripada keperluan jasmani, juga berkembang-biak, merasakan kasih-sayang, perasaan kebapaan dan keibuan yang merupakan kesan dari naluri melanjutkan keturunan (procreation instinct), mempertahankan diri dan menyukai sesuatu, ingin berkuasa, ingin memiliki kekayaan, marah, selesa dan bangga yang merupakan kesan daripada naluri mempertahankan diri, merasa lemah dan mempunyai keperluan yang perlu dipenuhi, takut dan perasaan tenang kerana melakukan ketaatan yang merupakan naluri beragama. Termasuklah perasaan-perasaan lain yang mendorong untuk dipenuhi. Semuanya itu mendorong dirinya untuk melakukan perbuatan dalam rangka memenuhi tuntutan perasaan-perasaan tersebut.

Akan tetapi, meskipun dorongan dari dalam dirinya kuat agar perasaan- perasaan tersebut dipenuhi, namun samada ianya dipenuhi atau tidak adalah bergantung kepada mafhum setiap orang tentang dorongan tersebut. Dan inilah yang membezakan antara manusia dengan haiwan. Walaupun haiwan mempunyai naluri dan keperluan jasmani, namun ia tidak mempunyai akal, yang lantaran tidak mempunyai mafhum, maka dalam memenuhi dorongan naluri dan keperluan jasmaninya, haiwan menggunakan tamyiz gharizi, yang mana tamyiz gharizi tersebut adalah kemampuan untuk membezakan yang ada pada haiwam, yang bersifat naluriah, kerana adanya pencerapan ke atas sesuatu secara berulang-ulang. Contohnya, apabila haiwan itu makan, mengapa makan rumput? Dan bagaimana caranya ia mengetahui bahawa benda di hadapannya adalah rumput? Haiwan juga tidak pernah mendapat pendidikan seks, sebab pendidikan hanya dapat diberikan kepada manusia. Namun begitu, haiwan jantan dapat melakukan hubungan seksual dengan haiwan betina yang sejenis. Misalnya anjing dengan anjing, serta hanya akan memasukkan zakarnya ke dalam vagina haiwan betina, bukan ke tempat yang lain. Semua ini merupakan tamyiz gharizi dan cara tersebut tidak pernah berubah. Berbeza sekali dengan manusia. Manusia dapat merubah cara dalam melakukan hubungan seksualnya. Adakalanya dengan cara liwat, kadang-kala seks oral dan sebagainya. Justeru semuanya dapat dilakukan oleh manusia kerana manusia dikurniakan akal.

Jika demikian, apakah potensi manusia dan haiwan itu sama? Jawabnya, mesti diteliti terlebih dahulu. Apabila yang dipermasalahkan adalah potensi kehidupan, maka potensi kehidupan manusia adalah sama dengan haiwan. Sebab yang dimaksudkan dengan potensi kehidupan disini adalah ciri khas yang diberikan oleh Sang Pencipta kepada setiap makhluk yang hidup . Apabila diperhatikan dengan mendalam, potensi kehidupan tersebut hanya ada dua, iaitu i) Keperluan jasmani (al-hajat al-udhuwiyyah), ii) naluri (gharizah) . Manakala akal (fikiran) bagi kehidupan manusia, tidak termasuk dalam potensi kehidupan sebab manusia masih boleh hidup meskipun akalnya hilang. Seperti orang gila, atau anak kecil yang belum sempurna akalnya. Akan tetapi, akal tetap merupakan salah satu potensi yangada pada manusia, yang justeru merupakan potensi terpenting baginya sebab akallah yang membezakan diantara manusia dengan makhluk yang lain.

Tubuh manusia yang dapat dicerap sebenarnya terdiri daripada pelbagai sel dengan bentuk, warna dan tugas yang berbeza. Jumlahnya lebih dari 200 billion sel. Setiap sel terdiri daripada membran (dinding sel) dan nukleus yang dikelilingi sitoplama. Plasma ini pula mengelilingi inti sel yang terdiri daripada beberaa kromosom. Bilangan kromosom ini hanya berjumlah 46 sahaja, tidak kurang dan tidak lebih dari itu, dimana kesemuanya terhasil dari gabungan sel sperma lelaki dan ovum perempuan.

Berkenaan dengan struktur tubuh manusia, tidak ada perbezaan antara seseorang dengan seorang yang lain apabila dilihat dari segi struktur organ dan fungsinya, walau apapun warna, bentuk dan penampilannya. Setiap manusia mempunyai mata, hati, hempedu serta anggota tubuh yang lain. Dan setiap anggota tubuhnya terdiri daripada sel-sel yang telah diterangkan sebelumnya, sehingga setiap manusia perlu makan, bernafas dan bergerak, tidur dan rehat.

Kenyataan bahawa setiap tubuh manusia memerlukan hal tertentu adalah khasiat yang telah diberikan Allah SWT kepada manusia. Inilah yang disebut sebagai keperluan jasmani (al-hajat al-udhuwiyyah) dan keperluan ini memerlukan pemenuhan. Maka, untuk memenuhi keperluan itu, manusia memerlukan keadaan, benda dan aktiviti tertentu. Keadaan yang diperlukan oleh tubuh manusia seperti tidur, rehat dan dengan suhu udara tertentu. Sedangkan benda yang diperlukan antara lainnya seperti makanan, minuman, udara (oksigen). Manakala aktiviti yang dilakukan antara lainnya seperti makan, bernafas, membuang air besar dsb. Inilah keperluan jasmani manusia iaitu keperluan yang lahir dan wujud kerana kesan daripada kerja struktur organ tubuh manusia. Makanan adalah benda yang diperlukan oleh tubuh untuk memberi tenaga, kerana adanya zat tertentu di dalam makanan tersebut yang sesuai untuk keperluan tubuh. Apabila zat yang diperlukan oleh tubuh tersebut tidak terpenuhi, maka tubuh manusia akan mengalami gangguan atau kerosakan. Dan dari sinilah biasanya penyakit bermula. Inilah gambaran tentang keperluan jasmani yang ada pada manusia.

Disamping itu, terdapat kenyataan lain yang lahir dari dalam diri manusia yang juga memerlukan pemenuhan. Bezanya kenyataan ini lahir bukan dari kesan kerja organ tubuh manusia melainkan dari luar diri manusia. Ketakutan, ingin berkuasa, cinta tanah air, cinta kepada suku atau ingin menguasai suku lain adalah kenyataan yang muncul daripada diri manusia. Kecenderungan kepada lawan jantina, perasaan keibuan, mencintai anak, mengasihi orang lain, perasaan hiba kepada orang yang memerlukan bantuan juga merupakan kenyataan yang muncul daripada diri manusia. Rasa kagum kepada orang lain, perasaan kurang, lemah, memerlukan kepada orang lain, menghormati orang lain dan sebagainya juga merupakan kenyataan yang muncul daripada diri manusia.

Semuanya ini mendorong manusia untuk melakukan aktiviti tertentu supaya dorongan tersebut dapat dipenuhi. Namun dorongan tersebut berbeza dengan dorongan daripada keperluan jasmani sebab keperluan jasmani tersebut timbul sebagai kesan daripada kerja organ tubuh manusia. Sedangkan kenyataan yang kedua ini timbul sebagai kesan dari aspek luaran tubuh manusia. Sebagai contoh apabila manusia makan dalam keadaan lapar, maka aktiviti tersebut dilakukan untuk memenuhi keperluan jasmani. Namun, adakalanya orang makan dalam keadaan kenyang, maka aktiviti tersebut dilakukan bukan kerana memenuhi keperluan jasmani, melainkan kerana naluri. Bukan kerana dorongan lapar, melainkan kerana dorongan rasa ingin tahu, iaitu ingin merasainya, atau kerana dorongan perasaan yang lain. Jadi inilah yang dikatakan naluri, Naluri berbeza dengan keperluan jasmani.

Dalam konteks inilah Allah SWT telah berfirman melalui lisan Nabi Musa as :

Tuhan kami (iaitu) Tuhan yang telah menganugerahkan kepada tiap-tiap sesuatu dengan bentuk kejadiannya, kemudian memberikannya petunjuk – (Surah Thaha:50)

Ertinya bahawa Allah SWT telah menciptakan khasiat, kemudian Allah memberikan petunjuk kepada manusia atau haiwan agar menggunakan khasiat tersebut untuk melakukan aktiviti, iaitu dalam rangka memenuhi keperluan jasmani atau naluri. Sebahagian ulama’ menafsirkan ayat tersebut bahawa Allah SWT telah menciptakan haiwan betina untuk haiwan jantan daripada jenis jantinanya, supaya dapat melakukan perkahwinan, termasuklah bagaimana cara melakukannya. Di dalam ayat lain, Allah SWT secara amnya menerangkan hal yang sama, berkenaan dengan adanya khasiat yang diberikan oleh Allah SWT samada berupa keperluan jasmani mahupun naluri.

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ
Zat yang Menciptakan dan Menyempurnakan (penciptaan-Nya) dan Yang Menentukan kadar (keistimewaan masing-masing) dan Memberikan petunjuk (Surah al-A’la:2-3)

Keistimewaan Pertama Manusia: Keperluan Jasmani

Keperluan jasmani manusia merupakan keperluan asas, yang lahir daripada kerja struktur organ tubuh manusia. Apabila keperluan asas tersebut tidak terpenuhi, maka astruktur organ tubuhnya akan mengalami kerosakan. Sebagai contoh, apabila tubuh manusia kekurangan air, maka kerja organ tubuhnya akan mengalami gangguan yang kemudiannya akan menyebabkan penyakit.

Keperluan jasmani juga berkaitan dengan peredaran zat yang ada di dalam tubuh. Sisa zat makanan, sebagai contoh, apabila tidak dapat dikeluarkan dalam bentuk najis, akan menyebabkan sakit perut dan memulas. Begitu juga, apabila manusia berada dalam keadaan udara yang dicemari dengan karbon monoksida, maka akan mengalami keadaan mengantuk, dan mungkin akan membawa pada kematian. Inilah bentuk keperluan jasmani. Jadi, keperluan jasmani ini merupakan keperluan organ tubuh dengan kadar tertentu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada manusia atau haiwan. Apabila pemenuhan keperluan ini kurang atau melampaui kadar tersebut, maka tubuh manusia akan mengalami gangguan (penyakit). Dalam hal ini, Allah SWT telah memberikan isyarat :

وَمِنْ آيَاتِهِ مَنَامُكُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَابْتِغَاؤُكُم مِّن فَضْلِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ
“ Dan diantara tanda-tanda Nya (Dia ciptakan) tempat untuk tidur kamu di waktu malam dan siang” ( surah ar-Rum:23)

وَقَالَ الْمَلَأُ مِن قَوْمِهِ الَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِلِقَاء الْآخِرَةِ وَأَتْرَفْنَاهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يَأْكُلُ مِمَّا تَأْكُلُونَ مِنْهُ وَيَشْرَبُ مِمَّا تَشْرَبُونَ
“ Ini adalah manusia biasa, yang masih memerlukan makan sama dengan apa yang kamu makan, dan minum sama dengan apa yang kamu minum “ ( Surah al-Mukminun: 33)

Pada kadar tertentu, keperluan jasmani ini wajib dipenuhi sebab apabila ia tidak dipenuhi akan menimbulkan kemudaratan dan kematian. Maka, ia merupakan keperluan asas ( al-hajat al-asasiyyah ) manusia yang wajib dipenuhi. Oleh kerana itulah, maka sesuatu yang hukum asalnya haram pun dihalalkan oleh Allah SWT untuk orang-orang yang memerlukannya kerana apabila keperluan asasnya tidak dipenuhi, akan menyebabkannya binasa. Allah SWT berfirman :

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Maka, sesiapa sahaja yang dalam keadaan terpaksa, tanpa unsur kesengajaan dan penentangan, maka tiada dosa baginya”( Surah al-Maidah: 3)

Ayat di atas diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam konteks keharaman bangkai, darah, daging khinzir dsb, yang kemudiannya dibolehkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada orang-orang yang dalam keadaan terpaksa kerana untuk mempertahankan hidupnya sebab jika tidak memakannya ia akan menyebabkan kematian. Nabi Salallahu ‘alaihi wasallam juga tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mencuri pada zaman kebuluran kerana untuk memenuhi keperluan asasnya:

“Tiada hukuman potong tangan (kepada pencuri apabila mencuri) pada zaman kebuluran yang sangat” (HR Makhul)

Oleh kerana itu, Umar bin Khattab tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada seorang pencuri apabila ia mencuri semata-mata untuk memenuhi keperluan asasnya pada masa kebuluran.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa pemenuhan keperluan jasmani merupakan pemenuhan yang wajib dilakukan. Apabila tidak dipenuhi pasti akan menyebabkan kehancuran dan kebinasaan. Atau apabila dipenuhi dengan tidak mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka akan menyebabkan hal yang sama berlaku iaitu kebinasaan. Oleh kerana itu, manusia wajib berusaha memenuhi keperluan jasmaninya agar tidak ditimpa kebinasaan. Meskipun hukum asal hukum untuk memenuhinya mubah (harus), namun apabila telah sampai pada tahap yang boleh menimbulkan kemudaratan, maka pemenuhan itu menjadi wajib. Makan contohnya adalah aktiviti mubah yang menjadi wajib dipenuhi apabila menimbulkan kerosakan. Demikian halnya dengan kewajipan bekerja adalah dengan mengikut kadar terpenuh atau tidaknya keperluan asas seseorang. Apabila keperluan asasnya belum terpenuhi, maka bekerja untuk memenuhi keperluan asasnya adalah wajib. Berbeza apabila keperluan asasnya telah dipenuhi, maka bekerja untuk memenuhi keperluan seperti ini adalah mubah sahaja.

Disamping itu, keperluan jasmani adalah semata-mata keperluan yang lahir dari dalam tubuh manusia yang tidak ada hubungannya dengan unsur luaran. Rasa lapar contohnya, apabila telah dipenuhi hingga kenyang, maka meskipun ada makanan yang lazat, ia tidak akan mampu membangkitkan selera kenyang seseorang sehingga perutnya menjadi lapar kembali. Apabila muncul juga keinginan untuk makan makanan lazat tersebut, hal itu hakikatnya bukan kerana lapar melainkan kerana dorongan naluri ingin tahu, ingin mencuba dsb, sehingga makanan itu dimakan juga akhirnya. Inilah gambaran secara umum tentang keperluan jasmani manusia.

Keistimewaan Kedua Manusia: Naluri

Naluri manusia merupakan khasiat yang merupakan fitrah yang terdapat di dalam diri manusia agar manusia dapat mempertahankan eksistensi (keujudannya), keturunan dan mencari petunjuk berkenaan dengan kewujudan Sang Pencipta. Naluri ini memang tidak dapat dicerap secara langsung oleh manusia, namun dapat dijangkau oleh akal melalui kesan atau kenyataan yang jelas terlihat.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menerangkan naluri tersebut melalui beberapa kenyataan yang telah dinyatakan di dalam beberapa ayat Al-Quran. Antara lain:

وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ

“Dan Tuhanmu telah mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pokok-pokok kayu, dan pada apa-apa yang mereka jadikan atap.” (Surah An-Nahl:68)

Maksudnya, Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan kepada lebah khasiat yang memungkinkannya membuat sarang di gunung, pokok atau apa sahaja yang dibuat oleh manusia. Ayat ini menerangkan bahawa haiwan (termasuklah manusia) diberi khasiat untuk membuat rumah atau tempat tinggal agar dapat melindungi diri dari serangan makhluk lain. Ini merupakan kenyataan tentang wujudnnya naluri mempertahankan diri (gharizatul baqa’).

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menerangkan kenyataan lain daripada naluri dalam beberapa ayat yang antara lain:

وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لاَ يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ
“Dan (ingatlah) apabila Ibrahim dipuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku akan menjadikan kamu imam bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata: “ (Dan saya mohon juga) daripada zuriat saya’. Allah berfirman: “Janjiku ini tidak akan mengenai orang-orang yang zalim.” ( Surah Al-Baqarah:124)

Kecintaan Ibrahim kepada zuriatnya merupakan kenyataan yang membuktikan wujudnya naluri iaitu naluri keturunan (gharizah al-nau’). Nabi Ibrahim memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar Dia menjadikan zuriatnya sebagai imam, sama seperti dirinya. Ini merupakan kenyataan wujudnya naluri yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepadanya. Kemudian Allah Subhanahu wa Ta’ala menafikan : “Allah berfirman:: ““Janjiku ini tidak akan mengenai orang-orang yang zalim’ yang menerangkan bahawa imamah tersebut hanya diberikan kepada zuriatnya yang zalim. Demikian juga ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, menceritakan kisah Yusuf ‘alayhi salam dengan seorang permaisuri raja:

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلا أَن رَّأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاء إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ
“Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf juga bermaksud (melakukan perbuatan yang sama) dengan wanita itu, seandainya dia tidak melihat tanda-tanda (dari) Tuhannya” (Surah Yusuf:24)

Dorongan syahwat kepada lawan jantina tersebut merupakan kenyataan yang membuktikan wujudnya gharizah an-nau’ Nabi Yusuf ‘alayhi salam kepada permaisuri raja tersebut. Demikian juga permaisuri raja tersebut, timbul syahwatnya kepada Nabi Yusuf ‘alayhi salam dan berkeinginan untuk memenuhi gharizah an-nau’ nya. Namun Nabi Yusuf ‘alayhi salam tidak melakukannya kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mencegahnya. Contoh lain sebagaimana yang dikemukakan di dalam Al-Quran:

وَإِذَا مَسَّ الْإِنسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِن قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبِيلِهِ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ
“Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, maka ianya memohon kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya” (Surah az-Zumar:8)

“Kembali kepada Allah” serta meluahkan keluhannya kepadaNya kerana ditimpa musibah adalah kenyataan mengenai wujudnya naluri beragama (gharizatul tadayyun). Ayat ini menerangkan kebiasaan manusia, iaitu berdoa atau memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala apabila ditimpa kemelaratan namun apabila kesulitan telah hilang, Allah pun dilupakannya begitu sahaja.

Dari huraian di atas dapat disimpulkan bahawa naluri manusia terdiri daripada tiga bahagian, iaitu (i) Naluri mempertahankan diri (gharizatul baqa’), (ii) Naluri melanjutkan keturunan (gharizatul nau’) dan (iii) Naluri beragama (gharizatul tadayyun). Namun, sebahagian besar dari ahli-ahli psikologi menganggap kenyataan yang ditimbulkan dari naluri tersebut sebagai naluri. Contoh: mereka biasa menyebut naluri keibuan, naluri kebapakan, naluri ketakutan dsb. Sebenarnya, semua yang mereka sebutkan ini hanyalah kenyataan tentang wujudnya naluri dan bukannya naluri itu sendiri.

Namun perlu difahami perbezaan antara naluri dengan keperluan jasmani. Apabila keperluan jasmani timbul kerana unsur dalaman, akibat kerja organ tubuh manusia, maka naluri timbul kerana unsur luaran. Dari unsur luaran itu adalah pemikiran dan realiti. Oleh kerana itu, ketiga naluri tersebut muncul akibat adanya dua faktor luaran tersebut, iaitu (i) Realiti dan (ii) Pemikiran. Contohnya adalah kes Nabi Yusuf di atas. Nabi Yusuf dan permaisuri raja sama-sama tertarik antara satu sama lain kerana adanya realiti. Bagi Nabi Yusuf, wanita tersebut adalah realiti yang dapat mempengaruhi gharizatul nau’ nya. Begitu juga dengan permaisuri raja tersebut. Nabi Yusuf adalah realiti yang dapat mempengaruhi gharizatul nau’ nya sehingga masing-masing tertarik antara satu sama lain.

Orang yang berbelanja di pasar akan terdorong gharizatul baqa’nya kerana banyak realiti iaitu berbagai jenis barangan, samada pakaian, kasut ataupun lainnya. Semua barangan tersebut merupakan realiti yang dapat mendorong gharizatul baqa’ orang tersebut hingga dia terdorong untuk membeli. Bahkan, orang tersebut adakalanya bingung untuk memilih kerana semua barangan yang ada telah mendorong gharizatul baqa’nya dan kalau boleh semuanya ingin dibeli.
Orang yang mengucap takziah apabila ada orang yang meninggal dunia pastinya mengingatkannya kepada kematiannya kelak, serta menumbuhkan rasa ketakutan pada dirinya apabila meninggal kelak, sedangkan dirinya belum bersedia kerana merasakan masih banyak dosa. Perasaan seperti ini juga tumbuh daripada orang yang melihat realiti iaitu jenazah yang dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan kemudian dikebumikan yang pastinya ditinggalkan sendirian di dalam kubur. Orang yang menyaksikannya dapat membayangkan bagaimana jika dia kelak meninggal seperti jenazah tersebut. Inilah pengaruh realiti terhadap naluri manusia. Apabila seseorang lelaki membayangkan seseorang wanita, maka dorongan syahwatnya akan timbul meskipun ketika membayangkannya, wanita tersebut tidak ada di hadapannya. Seseorang yang membayangkan betapa nikmatnya mempunyai rumah besar, kesedaran peribadi serta keperluan yang serba lengkap pastinya akan mendorong keinginannya untuk mempunyai semua barangan tersebut. Begitu juga apabila seseorang membaca Al-Quran kemudian merenungkan isinya, antara lain tentang kenikmatan syurga, lalu timbul kerinduannya untuk mendapatkannya. Semua contoh tersebut merupakan kesan dari pemikiran.

Kedua-dua aspek luaran inilah yang mempengaruhi timbulnya naluri manusia. Oleh kerana timbulnya naluri tersebut bukan dari dalam diri manusia melainkan dari aspek luaran tersebut, maka apabila keinginan tersebut timbul, ia tidak mesti dipenuhi. Apabila ia tidak dipenuhi sekalipun, ianya tidak akan mengalami kebinasaan ataupun bahkan sehingga menyebabkan kematian. Tidak sama sekali. Naluri tidak akan mengakibatkan kesan-kesan seperti itu. Meskipun demikian, naluri tidak dapat dibunuh dan dihancurkan. Tetapi yang memungkinkan hanyalah dialihkan kepada yang lain atau ditekan. Contohnya, kecintaan kepada isteri dapat dialihkan kepada kecintaan kepada ibu. Kerinduan kepada isteri bagi seorang suami yang tinggal berjauhan dari isterinya dapat dialihkan dan dikalahkan dengan naluri yang lain. Caranya adalah dengan menjauhi realiti yang boleh membangkitkan naluri tersebut. Contohnya dengan tidak berinteaksi dengan wanita, tidak melihat gambar isterinya atau anak-anaknya, ataupun tidak menyibukkan pemikirannya dengan keluarganya. Kemudiannya, pemikirannya dipenuhi dengan hal-hal lain, antara lain dengan Zat Al-Wakil (Zat Yang Maha Mewakili) yang mampu mempengaruhi urusannya, yang menjadi tempatnya berserah untuk menyerahkan seluruh urusan keluarganya.

Meskipun demikian, tidak bererti bahawa naluri tersebut dapat dilumpuhkan secara mutlak. Sebab, naluri tersebut merupakan sebahagian dari fitrah manusia, manakala kenyataan yang nampak dari wujudnya naluri tersebut bukanlah sebahagian daripada fitrah manusia. Bahkan sedikitpun tidak akan mempengaruhi eksistensi fitrah tersebut. Contoh lainnya tentang pengalihan pemenuhan naluri tersebut adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi Salallahu ‘alayhi wasallam apabila baginda memerintahkan berpuasa kepada pemuda yang mempunyai hajat kuat untuk berumahtangga ketika dia didominasi oleh kecenderungan seksualnya, iaitu apabila dia belum mampu membina rumahtangga. Sabda baginda Salallahu ‘alayhi wasallam:

“Wahai para pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang mampu berumahtangga, maka nikahlah. Sebab menikah itu dapat menundukkan pandangan dan membentengi kemaluan. Namun, sesiapa sahaja yang tidak mampu, maka hendaknya berpuasa, sebab puasa itu dapat menjadi benteng (bagi seseorang)”. (HR Bukhari)

Puasa yang diperintahkan oleh Nabi Salallahu ‘alayhi wasallam dalam kes tersebut adalah agar seseorang yang mempunyai keinginan kuat untuk menikah kerana dorongan gharizatul nau’ nya dapat memalingkan dorongan gharizatul nau’ nya kepada dorongan gharizatul tadayyun (naluri beragama). Sebab puasa merupakan ibadah dan setiap ibadah mempunyai tujuan yang hendak dicapai iaitu meningkatnya kekuatan ruhiyah (spiritual) seseorang. Dengan spiritual yang meningkat, gharizatul nau’ seseorang dapat dikendalikan sehingga boleh ditekan.

Keistimewaan Ketiga Manusia: Akal dan Fikiran

Manusia adalah haiwan, sama seperti haiwan yang lain. Apabila haiwan yang lain mempunyai keperluan jasmani dan naluri, maka manusia pun demikian. Bezanya, manusia diberi akal, sedangkan haiwan yang lain tidak. Mengenai bukti-bukti bahawa manusia mempunyai akal, sedangkan haiwan yang lain tidak, jelas nampak daripada perbezaan diantara kehidupan setiap haiwan tersebut. Kehidupan manusia senantiasa dipenuhi dengan perubahan dan kerana itu kehidupannya dinamik, sedangkan haiwan tidak. Kehidupan haiwan juga bersifat statik, tidak mengalami perubahan. Dari masa ke semasa, hidupnya tetap sama. Itulah perbezaan yang jelas pada haiwan dengan manusia secara nyata. Dalil di dalam Al-Quran menggambarkannya dengan jelas:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“Kami telah menjadikan untuk isi Neraka Jahannam kebanyakan dari manusia dan jin. Mereka mempunyai hati, namun tidak digunakan untuk berfikir. Mereka mempunyai mata namun tidak digunakan untuk melihat. Mereka mempunyai telinga namun tidak digunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti haiwan, bahkan lebih hina lagi” (Surah Al-A’raf:179)

Ayat ini menerangkan adanya persamaan antara manusia dan jin dengan haiwan, iaitu apabila manusia dan jin sama-sama diberi akal, pendengaran dan penglihatan, namun tidak digunakan untuk berfikir, mendengar dan melihat realiti, maka kedudukan mereka sama dengan haiwan. Pada asalnya kedudukan mereka tidak sama dengan haiwan, namun apabila keistimewaannya iaitu akal tidak mereka gunakan, maka mereka sama dengan haiwan. Apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala menyamakan manusia dengan haiwan iaitu ketika manusia tidak berfikir,bererti haiwan memang tidak mempunyai akal. Dengan demikian, manusia diberi keistimewaan akal oleh Allah, sedangkan haiwan tidak.

Meskipun secara empirik dan normatif dalam pandangan Islam sudah jelas bahawa manusia mempunyai akal, namun sejak zaman dahulu ramai ulamak Islam dan non-Muslim tidak dapat menerangkan tentang esensi akal secara jelas . Oleh kerana itulah, maka pembahasan akidah Islam menjadi kacau dan bercelaru . Oleh sebab itu, memahami batasan akal dan fikiran ini menjadi sangat penting. Dengan demikian, semua masalah yang ditimbulkan akidah ketidak-jelasan batasan ini akan dapat dihindari.

Kata ‘akal’ berasal dari bahasa arab, iaitu ‘al-aqlu’. Erti perkataan tersebut adalah sama dengan al-idra’ dan al-fkr. Ketiga perkataan tersebut adalah sama. Dalam bahasa arab, perkataan seperti ini disebut mutaradif atau sinonim. Akal merupakan khasiat yang diberi Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada manusia yang merupakan kesan daripada khasiat otak manusia. Sebab otak mempunyai keistimewaan untuk mengaitkan realiti yang dicerap dengan maklumat yang ada. Berbeza dengan otak haiwan. Otak haiwan tidak mempunyai khasiat untuk mengaitkan realiti dengan maklumat. Oleh kerana itu, haiwan tidak dapat dididik untuk bertingkah-laku baik dan sopan padahal haiwan mempunyai otak, memiliki pancaindera, dapat menerima maklumat dan diberi realiti. Sebab haiwan tidak dapat membuat kesimpulan kerana otaknya tidak mempunyai khasiat untuk mengaitkan realiti dengan maklumat. Maka tiap-tiap maklumat yang diberikan kepada haiwan selalu hilang, kerana fungsi otaknya tidak sama dengan otak manusia. Itulah perbezaan otak haiwan dengan manusia.

Otak manusia adalah benda yang terdapat di dalam tempurung kepala. Benda ini dikelilingi dengan tiga selaput yang dijaring dengan jalinan-jalinan talian saraf yang tidak terhitung jumlahnya, yang menghubungkan ke seluruh indera dan bahagian-bahagian tubuh manusia. Berat timbangan otak manusia dewasa mencapai 1,200 gram. Otak tersebut menghabiskan 25% oksigen yang diperolehi dari kedua paru-paru. Para ahli sains telah mengambil kesimpulan melalui eksperimen yang dilakukan dengan menggunakan infra-red yang mana melalui alat tersebut dapat diketahui bahawa apabila seseorang sedang berfikir, kenaikan haba (suhu) dapat dikesan semasa orang tersebut berfikir. Sebahagian saintis bahkan telah sampai pada kesimpulan bahawa maklumat yang dapat disimpan oleh otak manusia mencapai tidak kurang daripada 90 juta maklumat. Inilah keistimewaan otak manusia, yang tidak dimiliki oleh otak haiwan lain .

Dengan demikiran, merupakan kesalahan besar apabila membahaskan akal kemudian berkesimpulan bahawa akal adalah organ berbentuk fizikal dan berada dalam otak, kepala ataupun dada, dengan dalil bahawa hati ada dalam dada. Sebab fakta membuktikan bahawa orang yang dibedah hatinya atau jantungnya tidak berubah perangainya apabila ditukar jantungnya. Oleh kerana itu, akal sesungguhnya merupakan “kekuatan untuk melahirkan keputusan (kesimpulan) tentang sesuatu” dimana kekuatan ini bukan merupakan kerja satu organ tubuh manusia sahaja seperti otak, sehingga akal dianggap sama dengan otak, kemudian disimpulkan bahawa akal berada di dalam kepala. Ini adalah sebuah kesimpulan yang salah.

Jika demikian, siapa yang dapat membentuk kekuatan tersebut, yang secara simultan dapat membentuk akal? Maka, setelah melalui penelitian yang mendalam, dapat diambil kesimpulan bahawa kekuatan tersebut terbentuk daripada empat komponen yang dapat menyusun kekuatan sehingga menghasilkan apa yang dinamakan akal. Adapun proses kerja komponen-komponen tersebut sehingga menghasilkan kekuatan yang disebut akal adalah dengan memindahkan realiti yang telah dicerap ke dalam otak melalui pancaindera yang ada, dan dengan maklumat awal yang ada di dalam otak, realiti tersebut disimpulkan. Ketika itulah terbentuk kekuatan tersebut, iaitu kekuatan untuk menyimpulkan realiti. Inilah esensi akal manusia.

Intelektual Sosialis juga telah membuat kesimpulan berkenaan dengan akal, bahawa akal merupakan kekuatan yang dihasilkan melalui proses memantulkan realiti ke dalam otak atau otak ke dalam realiti. Mereka sengaja menolak komponen maklumat awal dalam memberikan gambaran tentang akal sehingga menyusun hujah bahawa akal merupakan kekuatan hasil refleksi. Benarkah akal merupakan kekuatan hasil refleksi otak ke dalam realiti atau sebaliknya? Jawapannya tentulah tidak benar sebab otak mahupun realiti tersebut sama-sama tidak dapat melakukan refleksi atau pantulan seperti cermin. Sebenarnya yang membawa pantulan objek realiti ke dalam otak tersebut adalah pancaindera (sense). Ini terbukti apabila pancaindera yang dipergunakan untuk mengesan objek adalah mata, maka memori yang tersimpan dalam otak berbentuk gambar. Sebab memori tersebut merupakan objek yang ditangkap dengan menggunakan mata. Berbeza apabila yang mengesan objek itu adalah hidung seperti bau kentut. Maka, memori yang tersimpan dalam otak berbentuk bau busukk. Juga berbeza apabila yang mengesan objek adalah telinga seperti bunyi kereta, maka memori yang tersimpan dalam otak berbentuk bunyi. Demikianlah seterusnya.

Inilah yang mereka sebut sebagai refleksi. Yang benar, semuanya itu merupakan hasil kerja pancaindera manusia. Jadi refleksi tersebut sebenarnya tidak pernah berlaku. Tetapi yang ada adalah transformasi objek ke dalam otak dalam bentuk memori. Dengan pandangan tersebut, sebenarnya intelektual (golongan cendekiawan) Sosialis mengakui bahawa komponen akal yang dapat digunakan untuk berfikir seperti itu adalah 1) otak 2) Realiti yang dapat dicerap 3) Pancaindera yang mereka sebut dengan refleksi.

Sedangkan alasan mereka menolak wujudnya maklumat awal (ma’lumat sabiqah) hanya semata-mata kerana akidah mereka yang tidak mahu mengakui kewujudan Tuhan sebab mengakui ujudnya maklumat awal bererti mengakui bahawa pemikiran terlebih dahulu dari realiti. Dan dengan begitu akan muncul pertanyaan dari mana datangnya pemikiran manusia yang pertama? Sebab mesti ada Zat di luar diri manusia yang memberikan pemikiran tersebut dan Zat itu juga mestilah bukan realiti itu sendiri. Sudah tentu hal ini bertentangan dengan akidah mereka yang mengatakan bahawa alam atau realiti yang ada adalah bersifat azali yang tidak memerlukan Zat di luar dirinya. Dengan demikian, mereka membuat andaian (khayalan) bahawa manusia pertama telah melakukan eksperimen untuk mendapatkan maklumat.

Benarkah manusia dapat berfikir tanpa maklumat awal? Anak kecil atau prang dewasa yang gila adalah contoh yang tepat untuk membuktikannya. Anak kecil dan orang gila mempunyai persamaan dari segi otak. Otak anak kecil belum sempurna sedangkan otak orang gila tidak sempurna pertumbuhan atau tercedera. Otak dari setiap mereka tidak dapat digunakan menghubungkan antara maklumat awal dengan memori yang disampaikan oleh pencerapan mereka. Maka, samada anak kecil atau orang gila tersebut sama-sama tidak dapat membezakan realiti yang ada di hadapannya. Anak kecil yang memegang batu akan memakannya, dan orang gila juga akan melakukan hal yang sama. Masing-masing memiliki otak, namun benarkah dengan otak mereka secara automatik dapat menyimpulkan realiti di hadapan mereka? Ternyata tidak. Apabila orang gila dapat melakukannya, tentu kerana sisa memori yang masih terdapat dalam otak mereka. Sedangkan anak kecil tersebut sama sekali tidak dpaat melakukan apa-apa. Contoh lain apabila anak kecil tersebut diberi kosa kata yang salah seperti membuang air besar dikatakan menyanyi, maka jika tidak dibetulkan sehingga besar dia akan berkesimpulan bahawa menyanyi adalah buang air besar. Ini pengaruh maklumat awal pada diri seseorang.

Gambaran ini jelas sekali dari penjelasan Allah berkenaan dengan kisah Adam dan Malaikat, ketika berada di syurga apabila Malaikat protes kepada Allah Subhanahu wa Taala atas penciptaan Adam kerana dianggap hanya akan menimbulkan rusuhan di muka bumi, kemudian Allah membantah seraya menyatakan, Aku Maha Tahu tentang apa yang kamu tidak tahu. Dan Allah pun membuktikan pernyataanNya:-

وَعَلَّمَ آدَمَ الأَسْمَاء كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلاَئِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاء هَـؤُلاء إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
قَالُواْ سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
قَالَ يَا آدَمُ أَنبِئْهُم بِأَسْمَآئِهِمْ فَلَمَّا أَنبَأَهُمْ بِأَسْمَآئِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ
Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian mengajukannya kepada Malaikat seraya berfirman, “Bertahukanlah kepadaKu nama-nama mereka semuanya apabila kamu benar (dengan dakwaan kamu bahawa kamu lebih tahu). “Mereka menjawab, “Maha Suci Engkau, kami tidak mempunyai ilmu sedikit pun kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Bijaksana”. Dia berfirman: “Wahai Adam, sampaikanlah kepada mereka nama-nama mereka semua”. Apabila Adam selesai menyebutkan kepada mereka nama-nama semuanya itu, Dia berfirman, “Bukankah aku telah beritahu kepada kamu, bahawa Aku Maha Tahu perkara ghaib di langit dan di bumi serta Maha Tahu apa yang kamu kemukakan dan apa yang kamu sembunyikan”. ( Al Baqarah 2:31-33)

Ayat di atas dengan jelas membuktikan bahawa Malaikat tidak dapat membuat kesimpulan tentang realiti yang ditunjukkan oleh Allah, sedangkan Adam dapat menunjukkannya, setelah Adam diberi maklumat oleh Allah sedangkan Malaikat tidak diberi maklumat terlebih dahulu oleh Allah. Dengan itu, jelaslah bahawa tidak ada seorang manusia pun yang dapat membuat kesimpulan tanpa mempunyai maklumat awal.

Apabila dilihat dari aspek kualiti pemikirannya samada dangkal (superficial thinking), mendalam (deep thinking) dan cemerlang (enlightened thinking), maka maklumat, pengetahuan dan pemikiran dapat dihuraikan seperti berikut:

1. Maklumat atau pengetahuan yang merupakan pemikiran yang dangkal.

Maklumat atau pengetahuan yang diperolehi melalu proses berfikir yang hanya melihat sesuatu dan mengambil kesimpulan berkenaan dengan sesuatu itu tanpa disertai pemahaman. Pemikiran tersebut diperolehi dengan cara memindahkan realiti yang dicerap secara langsung ke dalam otak, tanpa ada usaha untuk mengindera perkara yang berhubungan dengannya, dan menghubungkan maklumat yang mempunyai kaitan dengannya. Juga tidak disertai usaha mencari maklumat lain yang mempunyai kaitan dengannya. Akhirnya kesimpulan yang diperolehi tentunya merupakan kesimpulan yang dangkal. Apabila pemikiran dangkal tersebut disampaikan kepada orang lain, maka ia akan menjadi maklumat bagi orang tersebut dan tentu maklumat ini merupakan pemikiran yang dangkal.

2. Maklumat atau pengetahuan yang merupakan pemikiran yang mendalam.

Maklumat atau pengetahuan yang diperolehi melalui proses berfikir yang melihat sesuatu dan membuat kesimpulan berkenaan dengan sesuatu tadi dengan cara memahaminya, setelah itu baru membuat kesimpulan tentang suatu tadi. Pemikiran tersebut diperolehi dengan cara meningkatkan kualiti pencerapan pada realiti yang disimpulkan, juga meningkatkan kualiti maklumat yang berkaitan dengan apa yang dicerap tersebut untuk memahami realitinya. Oleh kerana itu, maka orang yan mempunyai pemikiran yang mendalam tidak akan hanya mengindera atau puas dengan maklumat pertama yang digunakan untuk membuat kesimpulan, sebagaimana orang yang berfikir dangkal. Akan tetapi orang tersebut akan mengindera kembali serta menambah maklumat yang ada dengan maklumat yang lain. Pemikiran yang lahir dari proses seperti ini apabila disampaikan kepada orang lain maka ia menjadi maklumat bagi orang tersebut. Tetapi maklumat ini merupakan pemikiran yang mendalam.

3. Maklumat atau pengetahuan yang merupakan pemikiran yang cemerlang.

Maklumat atau pengetahuan yang diperolehi melalui proses berfikir yang mendalam ditambah dengan memikirkan hal-hal yang berkaitan dengan realiti serta hal-hal yang masih mempunyai persekitaran dengan usaha untuk mencapai hasil yang benar. Apabila pemikiran tersebut disampaikan kepada orang lain, maka ianya merupakan maklumat bagi orang tersebut, yang tentunya ia merupakan pemikiran yang cemerlang.

Hajat Manusia Kepada Agama

Manusia diberi keistimewaan oleh Allah yang berbeza dengan haiwan iaitu akal, disamping keistimewaan-keistimewaan yang sama dengan haiwan seperti keperluan jasmani dan naluri. Kerana naluri itulah maka manusia memerlukan pemenuhan. Tidak terkecuali dengan naluri beragama (gharizatu at-tadayyun) yang terdapat di dalam dirinya. Semuanya menuntut untuk dipenuhi yang dalam hal ini tidak ada bezanya antara manusia dengan makhluk yang lain, sebab yang lainpun mempunyai naluri beragama seperti manusia. Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Al Quran berfirman:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدَهِ وَلَـكِن لاَّ تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا
“Dan segala sesuatu itu tidak ada, kecuali bertasbih dengan memujiNya, akan tetapi kamu tidak akan dapat memahami bagaimana cara mereka bertasbih” – Al Isra’:44

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ
“Tidakkah kamu melihat bagaimana kepada Allah bertasbih, langit dan bumi serta burung-burung dengan berbaris” (Surah An-Nur: 41)

Semua makhluk diberi keistimewaan yang sama dengan manusia dan mereka pun melakukan pemenuhan yang disebutkan dengan ‘bertasbih” kepada Allah Subhanahu Wa Taala dimana bertasbih tersebut merupakan bukti wujudnya naluri beragama iaitu mensucikan sesuatu yang diyakini,bahawa Dialah Sang Pencipta. Pensucian itu adakalanya menampakkan sesuatu yang hakiki yang biasanya dikatakan dengan istilah ‘ibadah’, tetapi adakalanya bentuk pensucian tersebut hanya merupakan penampakan minimum, seperti ta’zim dan penghormatan. Oleh kerana itu, semua makhluk beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Taala meskipun kita tidak memahami ibadah mereka, sebab ibadah itu merupakan keperluan setiap makhluk, kerana hal itu merupakan sebahagian dari fitrah mereka. Samada pensucian (taqdis) tersebut berkenaan dengan ta’abbud (ibadah), ihtiram (penghormatan) mahupun ta’zim, hakikatnya merupakan kesan daripada naluri beragama (gharizatu at-tadayyun), dan bukannya naluri mempertahankan diri (gharizatu al-baqa’), sebab apabila ia merupakan kesan daripada gharizatu al-baqa’, pastinya makhluk berkenaan tidak akan mendekatkan diri untuk beribadah, hormat dan ta’zim, sebaliknya akan melarikan diri dari zat yang ditakutinya.

Oleh itu naluri beragama telah ada pada diri manusia sejak sejarah kehidupan mereka bermula. Disepanjang sejarah tersebut, tidak pernah tercatat manusia hidupa tanpa memeluk agama, samada mereka menyembah matahari, bintang, api, berhala, mahupun menyembah Allah dimana penyembahan itu sebahagian daripada agama bagi mereka. Ini menunjukkan bahawa manusia sentiasa menyembah sesuatu di dalam kehidupan mereka sejak manusia itu diciptakan lagi. Ini bermakna, penganut Sosialisme yang menolak agama dan Tuhan, bukannya tidak mempunyai tuhan tetapi mereka mengganti tuhan dengan satu bentuk tyhan kepada bentuk tuhan yang lain, iaitu kebendaan (material), iaitu mengubah ta’zim dan taqdisnya dari tuhan kepada pahlawan atau benda-benda yang agung.

Oleh yang demikian, agama bagi manusia merupakan keinginan semulajadi yang diperlukan oleh nalurinya. Apabila naluri ni tidak dipenuhi, hidupnya akan mengalami kegelisahan, ketidak tenteraman, kegoncangan dan kekacauan. Oleh kerana itu, memeluk agama merupakan fitrah bagi setiap manusia. Apa yang menjadi persoalannya sekarang ialah siapakah yang berhak menurunkan agama bagi manusia untuk mengatur keperluan naluri beragama tersebut?????

Dengan penelitian yang mendalam, kita akan dapati bahawa naluri tersebut merupakan pemenuhan yang berkaitan dengan Zat Yang Maha Agung, iaitu Allah Subhanahu Wa Taala. Maka dengan itu, aturan pemenuhan naluri tersebut mestilah daripada Allah Subhanahu Wa Taala. Ini kerana Dialah Yang Maha Tahu tentang diri-Nya dan diri ciptaan-Nya iaitu makhluknya. Sedangkan manusia sendiritidak dapat memahami dirinya sendiri, apatahlagi tentang Zat Allah. Oleh kerana itu, sangat mustahil aturan agama tersebut datangnya dari manusia itu sendiri.

Perasaan lemah, serba kekurangan dan kekerdilan manusia di hadapan Zat Yang Maha Agung yang mendorong manusia mengagungkan Zat tersebut di dalam ibadah, sebenarnya bukan hanya timbul pada manusia ketika beribadah sahaja tetapi setiap masa sebab ia merupakan fitrah. Sedangkan fitrah dimana saja tetap fitrah, tidak akan berubah walaupun perasaan yang muncul daripada fitrah tersebut dapat dialihkan kepada bentuk yang lain. Oleh kerana itu, walaupun bukan dalam beribadah, manusia tetap memiliki naluri beragama sesuai dengan fitrahnya yang lemah, serba kekurangan dan memerlukan Zat Yang Maha Agung sehingga mustahil keperluan manusia kepada agama tersebut dapat dipenuhi dengan agama lain, selain agama yang diturunkan oleh Zat Yang Maha Agung iaitu Allah Subhanahu Wa Taala. Disinilah rasionalnya mengapa manusia memerlukan agama dan mengapa manusia memerlukan agama yang datangnya dari Allah Subhanahu Wa Taala dan bukannya dari yang lain.

Rasionalnya, agama memang sengaja diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada makhluk berakal yang telah dijadikan Allah sebagai khalifah fi al-ardhi yang telah bersedia menerima amanat yang tidak sanggup dipikul oleh gunung-ganang, langit dan bumi, namun diterima oleh manusia sebagai standard di akhirat kelak dimana Allah Subhanahu Wa Taala telah menjadikan keistimewaan akal manusia sebagai manath taklif (objek yang menjadi sebab diberi tanggungjawab) sehingga dapat memilih antara mengambil dan meninggalkan suatu agama. Oleh kerana itu, Allah Subhanahu Wa Taala akan meminta pertanggungjawaban manusia atas akalnya:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً

“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan akal fikiran (manusia), semuanya itu akan dimintai pertanggungjawaban” ( Surah al-Isra’ :36)

Memahami Peranan Muslimah

Peranan Muslimah dalam dunia Islam adalah sesuatu yang sering dan hangat dibincangkan, dan sering kali menimbulkan pelbagai andaian. Malangnya, perbincangan lebih menjurus kepada kesimpulan yang negatif. Satu persepsi yang paling biasa adalah wanita perlu hidup di bawah penindasan ala diktator para suami dan bapa mereka, dipaksa berkahwin dan sudah tentu, wanita juga dianggap tersepit dan menderita di sebalik tudung mereka. Dari segi sumbangan dan peranan wanita Muslim di dalam masyarakat pula hanya dalam lingkungan sejauh lima meter dari singki dapur.

Perbincangan berkenaan wanita Muslim dan peranan mereka sebenarnya adalah sesuatu yang penting untuk setiap Muslim. Pertamanya kerana ia adalah perkara yang melibatkan banyak salah anggap di kalangan golongan Kuffar yang perlu diperbetulkan Keduanya kerana segelintir dari golongan Muslim sendiri melayan kaum wanita secara tidak adil dan kononnya berasaskan Islam padahal hakikatnya, tindakan dan layanan mereka itu sering kali adalah berlandaskan budaya dan adat resam bangsa yang sememangnya bukan dari Syariat Islam.

Salah faham yang membenarkan layanan sedemikian rupa terhadap Muslimah berpunca dari dua sumber; iaitu dari kaum Muslimin yang memberikan justifikasi bahawa penindasan dan salah laku mereka adalah bersumberkan (syariat) Islam. Juga dari segolongan kaum Kuffar yang mempunyai agenda untuk mempergunakan ajaran Islam dan menggambarkan peradaban Islam sebagai mundur dan menindas.

Kebelakangan ini, layanan wanita Muslim di Afghanistan telah digunakan untuk mempamerkan gambaran penindasan dan penderaan ke atas wanita Muslim dan seterusnya menyalahkan hukum syarak. Contoh lain yang lebih ketara adalah pembunuhan Banaz Mahmood di United Kingdom oleh bapa dan pakciknya sendiri demi ‘maruah’. Contoh lainnya pula ialah Mukhtar Mai di Pakistan yang telah diperkosa secara berkumpulan sebagai hukuman pembalasan ke atas abang beliau yang dikatakan mempunyai hubungan dengan anak gadis ketua kampung mereka. Walaupun jelas tingkah laku dan tindakan ini bukan berasaskan Islam, tetapi pihak media Barat telah menghubungkaitkan jenayah ini dengan ajaran Islam.

Peranan Muslimah telah ditakrif dan digariskan dengan amat jelas dalam Islam. Secara ringkasnya, peranan utama Muslimah adalah untuk mengasuh dan mendidik anak-anak dan menjadi isteri yang bertanggung jawab. Mereka dituntut untuk melaksanakan segala tugas dan tanggung jawab dengan penuh kesungguhan dan ketaatan. Hadis di bawah memperingatkan wanita Muslim akan kebaikan dan ganjaran dalam melaksanakan peranan utama mereka.

“Seorang wanita telah datang kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berurusan tentang satu perkara, dan apabila telah selesai urusannya, Baginda bertanya kepada wanita itu, “Adakah kamu mempunyai suami?” Beliau menjawab, “Ya.” Baginda bertanya lagi, “Bagaimanakah hubungan kamu dengannya?” Beliau menjawab, “Aku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabku kecuali yang di luar kemampuan ku.” Baginda berkata, “Berilah sepenuh perhatian terhadap layanan kamu kepadanya kerana dia adalah Syurga dan Neraka mu.” [HR Ahmad]”

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Wanita yang terbaik dari golongan Quraish adalah mereka yang berbuat baik terhadap anak-anaknya dan menjaga harta-benda suami mereka.” Namun begitu, peranan wanita bukanlah hanya semata-mata sebagai seorang ibu dan isteri. Islam membenarkan wanita menunaikan ibadah Haji, melibatkan diri dalam memilih pemimpin, bergiat di dalam politik, bekerja mahupun menjalankan perniagaan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman bahawa lelaki dan perempuan adalah setara di hadapan Allah. Yang membezakan mereka adalah ketakwaan, beza dalam mengejar ganjaran kebaikan dan beza dalam mematuhi segala suruhanNya. Bukannya persamaan dari segi fizikal. Untuk menjelaskan lagi, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan lelaki dan wanita itu berbeza dari segi peranan serta cara untuk meraih ganjaran dari Allah. ”Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka” [TMQ Surah an Nisa (4):34]

Sesetengah perintah dalam Islam bersifat umum dan terkena ke atas semua Muslim sama ada lelaki mahupun wanita. Sebahagian taklif (beban hukum) pula ditujukan khusus untuk lelaki dan sebahagiannya pula hanya untuk wanita. Terdapat berbagai aktiviti yang dibolehkan untuk Muslimah terlibat di dalamnya yang mana sesetengahnya memang menjadi tanggung jawab mereka dan tidak boleh di kompromi. Tanggapan bahawa wanita Muslim tidak boleh berpendidikan atau bekerja adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Pengetahuan dan pemahaman asas kehidupan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan isteri-isteri baginda menjelaskan contoh wanita-wanita Muslim yang cemerlang di dalam bidang yang mereka ceburi. Isteri Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, Khadijah Radhiallahu anha bukan hanya seorang peniaga bahkan dia merupakan seorang usahawan yang berjaya. Saidatina Aisyah pula amatlah terkenal sebagai orang yang bertanggungjawab meriwayatkan sebahagian besar hadis-hadis.

Dalam Islam, Muslimah bukan sahaja dibenarkan untuk menerima pendidikan dan bekerja tetapi sepatutnya dan sememangnya akan diberi peluang di dalam Daulah Islam (Daulah Khilafah) untuk cemerlang di dalam kepakaran masing-masing. Kewajiban menuntut ilmu adalah terbeban di atas bahu setiap Muslimin dan Muslimah dan Daulah Khilafah bertanggungjawab memberi pendidikan sehingga ke tahap tertinggi kepada wanita, sebagaimana diberikan kepada lelaki. Wanita dilihat sebagai seorang warganegara yang amat bernilai yang bukan sahaja memberikan ilmu dan kepakaran tetapi juga mendidik, mengasuh, memupuk syakhsiyyah Islam kepada generasi Islam akan datang. Dalam pelbagai sudut, Muslimah memberikan sumbangan dan memainkan peranan yang amat penting dan mulia di dalam masyarakat.

Dalam kebanyakan aktiviti yang dibolehkan untuk Muslimah melakukannya, salah satu yang paling penting adalah hak untuk menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran serta membincang dan mengambil berat tentang masalah umat Islam. Dengan meningkatnya kebangkitan dan kesedaran politik Muslim di serata dunia, suara politik Muslimah dalam menyumbang ke arah ini tidak boleh disisihkan. Sesungguhnya contoh-contoh aktiviti seperti ini telah wujud sejak zaman Rasulullahlah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi hinggalah ke hari ini. Islam mendefinisikan politik sebagai ri’ayah asy-syu’un al-ummah (memelihara urusan umat). Wanita Muslim tidak terpisah atau terasing malahan berada di tengah-tengah umat dan hidup sebagai sebahagian dari umat ini. Mereka merasai permasalahan yang menyelimuti masyarakat dan sebahagian besar dunia Islam, mereka merasai ketiadaan Islam sebagai pembela terhadap penindasan dan kekejaman rejim Kuffar.

Penglibatan Muslimah dalam politik bukanlah suatu fenomena baru. Antara contoh awal ialah pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila pemimpin Yatsrib (Madinah) menghantar wakil Bani Khazraj untuk memberikan bai’ah kepada Baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kumpulan ini terdiri daripada 73 orang lelaki dan 2 orang wanita, yang berbaiah kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu Bai’atul Aqabah Kedua yang tersohor kerana ia membawa implikasi spiritual dan politik. Bai’at itu bukan hanya satu deklarasi menerima Islam tetapi ia juga adalah satu aku janji untuk memberi sokongan politik dan ketenteraan. Contoh lain tentang penglibatan wanita dalam politik adalah pada awal abad ke-14 Hijrah, Umm Muqtadir Billah, bonda kepada Khalifah Abbasiyyah, telah membentuk satu tribunal pengadilan bertujuan menyelesaikan rayuan dan tuntutan undang-undang serta meletakkan salah seorang dari pengiring perempuannya sebagai hakim.

Sebuah buku tulisan Zainab Ghazali yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan komitmen beliau dalam menjalankan tanggung jawab dakwah Islam dan usaha beliau dalam rangka untuk menegakkan sistem Islam. Akibatnya beliau telah diseksa dan dipenjarakan. Beliau menceritakan mengenai komitmennya ini di dalam bukunya untuk mengingatkan suami beliau tentang tanggung jawab mereka terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Apabila berlaku pertembungan antara kepentingan akad perkahwinan kita dan urusan dakwah, maka perkahwinan kita akan berakhir, akan tetapi dakwah akan sentiasa berakar umbi di dalam dadaku…Aku mengetahui akan hakmu untuk memerintahku dan adalah tanggungjawabku untuk mematuhimu, tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam jiwa kita adalah lebih besar dari nyawa kita, dan dakwahNya adalah lebih dekat dengan kita dari diri kita sendiri..”

Beliau menerangkan lagi tentang fokus dakwahnya.
“Bagi mereka yang sudah menjangka kepayahan jalan ini dan tahu – dengan izin Allah – rahsia di sebalik ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, mereka tidak akan sama sekali menyimpang dari kebenaran, mengajak kepada makruf dan berdakwah sehingga ummah kembali terbela dan semua umat manusia berada di bawah satu panji-panji Allah.”

Sejak sekian lama, wanita Muslim di katakan tidak berguna dan tidak berupaya untuk menjelaskan pendirian mereka di landasan politik. Namun kini keadaan sudah semakin berubah. Semakin ramai wanita di Pakistan, Indonesia, Mesir yang menyatakan pandangan dan keprihatinan mereka di khalayak umum, bermuhasabah kepada pemimpin, memberi pendapat di bidang pendidikan dan kesihatan, menyeru kepada Khilafah di dunia Islam. Wanita Muslim adalah sebahagian dari masyarakat, maka sudah semestinya mereka memainkan peranan yang penting dalam membangunkan masyarakat Islam yang sejati. Dalam Islam, wanita dilihat sebagai sebahagian anggota masyarakat yang bermartabat tinggi dan amat bernilai. Peranan wanita Muslim dalam mematuhi perintah Allah bukanlah mengagungkan lelaki tetapi mengagungkan satu-satuNya yang berhak untuk diagungkan (iaitu) Allah Yang Maha Esa.

Allah berfirman
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ At Taubah (9):71].

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan di atas bahu kita sebagai umat ini, tugas yang mulia iaitu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Muslimah wajiblah menunaikan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh semangat dan kesungguhan sebagaimana dia melaksanakan tanggungjawab dan ketaatan terhadap perintah Allah yang lainnya.

Sumber: Khilafah.com

Hari ini kita bermula…..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…..

Tiada Tuhan Yang Aku Sembah Melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah…..

Hari ini kita bermula,

Di sini, di muka bumi Allah ini kita bermula,

Pada saat ini kita bermula,

Detik ini pasti kita bermula,

Mampukah kita bermula dengan kalimah2 yang mengagungkan Maha Esa?

Maha Berkuasa,

Maha Penyayang,

Maha Pengampun,

Maha Mengetahui…..

Justeru,

Ingatlah sampai bila kita hanya mampu bermula?

Ingatlah akan tiba masanya pasti kita akan akhiri,

Hari ini kita akhiri,

Di sini, di muka bumi Allah ini kita akan akhiri,

Pada saat ini kita akan akhiri,

Detik ini kita akan akhiri,

Mampukah kita akhiri dengan kalimah2 yang mengagungkan Maha Esa?

Maha Berkuasa,

Maha Penyayang,

Maha Pengampun,

Maha Mengetahui…..

Sudah terlambatkah kita?

Sudah terlewatkah kita untuk bermula?

Mulakan dengan lembaran2 segar,

Mulakan dengan kalimah2 suci,

Mulakan dengan bunyi2an merdu,

Mulakan dengan wangi2an semerbak,

Mulakan dengan langkah2 kejayaan,

Mulakanlah dengan niat yang satu,

kerana Allah Penciptaku…..

Amin…..

‘Perkenanlah permintaan hambaMu yang kerdil, tiada kuasa, tiada kemampuan melainkan dengan izinMu’

GA